
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan berlakunya lebih banyak keganasan politik di Amerika Syarikat yang semakin panas.
Trump mengesahkan di media sosial bahawa Kirk, 31, meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
“Charlie Kirk yang hebat, malah seorang legenda, telah tiada,” tulis Trump di Truth Social.
Kirk ditembak ketika berucap pada satu acara di Universiti Utah Valley.
Rakaman video menunjukkan Kirk sedang bercakap di hadapan khalayak ramai apabila bunyi tembakan kedengaran. Kirk kelihatan rebah di kerusinya sebelum kamera dialihkan, diikuti jeritan panik penonton.
Pihak universiti berkata insiden berlaku sekitar tengah hari dan pada mulanya memaklumkan seorang suspek ditahan. Bagaimanapun, beberapa laporan media AS kemudian menyatakan tiada suspek ditahan.
“Tiada siapa yang memahami atau menjiwai anak muda di Amerika Syarikat lebih baik daripada Charlie. Dia disayangi dan dikagumi oleh semua, terutamanya saya, dan kini dia sudah tiada bersama kita,” kata Trump.
“Saya dan Melania mengucapkan Takziah kepada isteri beliau, Erika, serta keluarganya. Charlie, kami menyayangimu!”
‘Dia rebah ke belakang’
Bekas ahli Kongres Utah, Jason Chaffetz, yang turut hadir pada perhimpunan itu, memberitahu Fox News bahawa tembakan berlaku ketika Kirk sedang menjawab soalan daripada pelajar.
“Soalan pertama berkaitan agama. Beliau bercakap selama 15 hingga 20 minit. Soalan kedua, tentang penembak transgender, penembak rambang, dan ketika itulah satu tembakan dilepaskan,” kata Chaffetz dengan nada terkejut.
“Sebaik sahaja bunyi tembakan kedengaran, beliau rebah ke belakang. Semua orang meniarap, ramai yang menjerit, kemudian semua mula lari,” katanya.
Sophie Anderson, 45, memberitahu Daily Mail bahawa beliau berdiri kira-kira 30m dari pentas dan terus tahu bahawa bunyi itu adalah tembakan.
“Beliau ditembak di leher, terus rebah dan darah memancut keluar,” katanya kepada media itu.
Kirk mempunyai pengaruh besar dalam politik AS, membantu melonjakkan sokongan anak muda terhadap Trump – salah satu faktor utama dalam kembalinya Republikan itu berkuasa tahun lalu.