Qatar, PBB kutuk serangan Israel di Doha

Qatar, PBB kutuk serangan Israel di Doha

Qatar bertegas tidak akan bertolak ansur dengan 'tingkah laku melulu Israel dan gangguan berterusan ke atas keselamatan serantau atau tindakan sasar keselamatan serta kedaulatannya'.

Seorang pemimpin kanan Hamas berkata serangan berlaku ketika perunding kumpulan itu berbincang cadangan terbaharu Donald Trump berhubung gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Kementerian Luar Qatar mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel di Doha yang disifatkannya “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa”.

“Serangan jenayah ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa, serta menjadi ancaman serius kepada keselamatan rakyat Qatar dan penduduk di negara ini,” katanya dalam kenyataan dipetik Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian itu mengesahkan pasukan keselamatan, pertahanan awam dan pihak berkuasa berkaitan telah menangani insiden berkenaan dan “mengambil langkah-langkah perlu bagi mengawal kesannya serta memastikan keselamatan penduduk dan kawasan sekitar”.

Qatar menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan “tingkah laku melulu Israel dan gangguan berterusan terhadap keselamatan serantau, mahupun sebarang tindakan menyasarkan keselamatan serta kedaulatannya”.

AA melaporkan seorang pemimpin kanan Hamas memberitahu stesen televisyen Al Jazeera berpangkalan di Doha, serangan itu berlaku ketika perunding kumpulan terbabit sedang membincangkan cadangan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan.

Seorang lagi pemimpin kanan Hamas mengesahkan kepada Al Jazeera, delegasi kepimpinan Hamas terselamat dalam serangan di Doha.

Qatar bersama Mesir dan AS kini menjadi pengantara dalam rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas berhubung potensi perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres, mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel di Doha dan turut menyifatkannya “pelanggaran terang-terangan” terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Qatar, lapor agensi berita Jerman.

Bercakap di New York pada Selasa, Guterres menegaskan semua pihak mesti berusaha ke arah gencatan senjata berkekalan dan mengelak tindakan yang boleh menjejaskannya.

Katanya, Qatar memainkan “peranan sangat positif” dalam usaha gencatan senjata dan pembebasan tawanan ditahan di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.