
WHO dalam pengumuman di Geneva berkata, keputusan itu dibuat susulan syor panel pakar bebas untuk menamatkan status darurat yang diisytiharkan tahun lalu.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media di ibu pejabat pertubuhan itu di Switzerland berkata, jumlah kes semakin menurun di negara Afrika terjejas.
Sejak WHO mengisytiharkan darurat, pengetahuan mengenai faktor dan risiko jangkitan bertambah. Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahaya belum berakhir dan pihak berkuasa perlu sentiasa berwaspada.
Menurut data WHO, kes turut di Jerman, Britain, China dan Turki dilaporkan baru-baru ini. Tetapi, hampir semua kes di negara terbabit dijangkiti mpox ketika melakukan perjalanan.
Jangkitan mpox lazimnya ringan, dengan gejala ruam kulit dan demam. Namun, ia boleh membawa maut kepada kanak-kanak kecil atau individu mempunyai daya tahan imun lemah.
Akhir Julai lalu, pihak berkuasa kesihatan Eropah, ECDC menganggap risiko jangkitan mpox bagi penduduk di rantau Eropah rendah.
Sejak awal tahun ini, kes dilaporkan di 81 negara. Sejak Januari lalu, 34,386 kes dan 138 kematian dilaporkan kepada WHO (sehingga 28 Ogos lalu).
WHO menganggarkan angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana bukan semua kes didiagnosis dan direkodkan.