
Seorang pegawai Kementerian Penerangan memberitahu Anadolu Ajansi, helikopter dikerahkan bagi memindahkan mangsa cedera ekoran tanah runtuh yang menghalang pasukan penyelamat memasuki beberapa kawasan terjejas.
Menurutnya, lebih 250 orang disahkan maut dan sekurang-kurangnya 500 lagi cedera, dengan jumlah korban dijangka terus meningkat.
Penduduk tempatan menyifatkan gempa itu antara yang terkuat pernah melanda Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa berlaku pada 11.47 malam waktu tempatan (1917GMT), 27km timur laut Jalalabad pada kedalaman 8km.
Kematian dilaporkan di daerah Nur Gal, Sawki, Watpur, Manogi dan Chapa Dara di wilayah Kunar.
Angka korban dan mangsa cedera belum muktamad kerana komunikasi dengan penduduk di kawasan pedalaman sedang dilakukan, manakala pasukan bantuan masih dalam perjalanan.
Beberapa jalan menuju Dewa Gul di daerah Sawki dan Mazar Dara di daerah Nur Gul turut terhalang akibat tanah runtuh.
Jurucakap pentadbiran sementara Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengesahkan gempa itu menyebabkan korban jiwa dan kerosakan harta benda.
“Dukacita dimaklumkan, gempa bumi malam ini mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda di beberapa wilayah timur,” tulisnya di platform X.
Beliau berkata, pegawai tempatan dan penduduk giat menjalankan operasi menyelamat, manakala pasukan sokongan dari wilayah pusat serta berdekatan digerakkan ke kawasan terjejas.
“Semua sumber yang ada akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa.”
USGS turut melaporkan sekurang-kurangnya dua lagi gempa susulan, masing-masing bermagnitud 5.2 melanda kawasan sama selepas gegaran pertama.