
Keputusan itu hanya akan berkuat kuasa 14 Okt ini, sekali gus memberi masa kepada kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Agung. Masih tidak jelas bagaimana keputusan itu akan menjejaskan perdagangan dengan negara terikat dalam perjanjian.
Trump sudah mengumumkan hasrat mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu, sambil berkata penghapusan tarif akan menjadi “malapetaka besar” bagi AS.
“Hari ini, sebuah Mahkamah Rayuan yang sangat berpihak politik menyatakan secara salah tarif kita perlu dihapuskan. Jika dibiarkan, keputusan ini secara literal akan memusnahkan AS,” katanya di platform Truth Social.
Kes itu berkaitan tarif khusus mengikut negara yang pertama kali diumumkan Trump April lalu, menyasarkan puluhan rakan dagang AS. Washington kemudian menyesuaikan beberapa kadar, termasuk tarif 15% ke atas kebanyakan import Kesatuan Eropah, yang berkuat kuasa 7 Ogos lalu.
Trump berhujah defisit perdagangan dengan negara lain menimbulkan risiko keselamatan negara, justeru memberi justifikasi untuk mengenakan tarif tanpa kelulusan Kongres.
Rayuan itu menyusul keputusan sebuah Mahkamah Persekutuan di New York Mei lalu yang secara kekal menghalang pelaksanaan tarif tersebut. Pentadbiran Trump kemudian memohon semakan di Mahkamah Rayuan, yang pada awalnya menarik balik injunksi mahkamah New York untuk meneliti kes berkenaan.
Dalam keputusan pada Jumaat, Mahkamah Rayuan sebahagian besarnya mengekalkan keputusan mahkamah rendah, walaupun ia tidak secara langsung mengharamkan tarif itu.
Dua belas negeri AS memfailkan saman April lalu, termasuk 10 yang diketuai Demokrat dan dua oleh Republikan atas alasan kuasa diperuntukkan Perlembagaan AS untuk mengenakan cukai, tarif dan duti milik Kongres AS, bukannya presiden.