2 budak maut, 17 cedera tembakan di gereja Minneapolis

2 budak maut, 17 cedera tembakan di gereja Minneapolis

Penyerang membunuh diri di bahagian belakang gereja dengan suspek disyaki bertindak sendirian.

Dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun maut dalam serangan di gereja Annunciation Catholic School. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Dua kanak-kanak maut dalam insiden tembakan di sebuah gereja di Minnesota, Amerika Syarikat (AS), menurut Ketua Polis Minneapolis Brian O’Hara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Dua kanak-kanak, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun, terbunuh ketika mereka duduk di bangku gereja di Annunciation Catholic School, manakala seramai 17 lagi termasuk 14 kanak-kanak cedera.

“Dua daripada kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal,” kata O’Hara kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian.

Beliau berkata, penyerang berkenaan telah membunuh diri di bahagian belakang gereja dan suspek yang berusia awal 20-an itu bertindak sendirian serta tidak mempunyai rekod jenayah serius yang diketahui.

O’Hara berkata, sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek sedang diperiksa dan motif kejadian masih belum diketahui.

Laporan turut menyebut tiga lagi insiden tembakan berlaku di Minneapolis dalam tempoh 24 jam lalu, mengakibatkan tiga maut dan tujuh yang lain cedera.

Gabenor Tim Walz mengesahkan insiden itu menerusi media sosial dengan menyatakan Biro Siasatan Jenayah dan Peronda Negeri berada di lokasi kejadian.

Hennepin Healthcare, yang mengendalikan beberapa hospital di kawasan Minneapolis, dilaporkan berkata pihaknya sedang merawat mangsa insiden tembakan itu.

Peguam Negara AS Pam Bondi turut mengesahkan ejen persekutuan berada di lokasi kejadian.

“Doa kami bersama semua yang terlibat dalam tragedi ini. Pasukan kami akan memberikan maklumat terkini sebaik sahaja kami menerimanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.