Menteri luar Belgium mahu kerajaan iktiraf negara Palestin

Menteri luar Belgium mahu kerajaan iktiraf negara Palestin

Maxime Prevot berkata gagal mengambil tindakan menjadi bencana kepada imej antarabangsa Belgium.

Menteri Luar Belgium Maxime Prevot menegaskan isu Gaza kekal sebagai perkara penting. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Menteri Luar Belgium Maxime Prevot memberi amaran kerajaan berdepan risiko ‘krisis besar’ sekiranya gagal mengambil pendirian lebih tegas terhadap Israel dan tidak meneruskan pengiktirafan Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

“Jika kerajaan tidak mengambil pendirian lebih tegas terhadap pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan Israel atau mengiktiraf Palestin, terdapat risiko berlakunya krisis besar,” kata Prevot kepada akhbar harian De Standaard.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan menyekat keputusan penting kerajaan sekiranya isu itu terus tidak diselesaikan.

Parti berhaluan tengah Les Engages pimpinan Prevot, bersama parti pemerintah CD&V dan Vooruit, mendesak pendirian lebih keras terhadap Israel serta pengiktirafan Palestin. Namun, parti nasionalis Flemish N-VA dan parti liberal MR kekal menentang perkara itu.

Beliau menuduh pengerusi MR Georges-Louis Bouchez merisikokan kredibiliti Belgium dengan menghalang inisiatif tersebut. “Tidak boleh diterima bahawa sikap seorang individu menggugat reputasi seluruh negara,” katanya.

Prevot menegaskan isu Gaza kekal sebagai ‘perkara penting’ dan mengesahkan beliau akan mengemukakan satu memo cadangan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Bart De Wever dan timbalan perdana menteri, pada Rabu.

Cadangan itu termasuk pengiktirafan negara Palestin, larangan kemasukan menteri Israel Itamar Ben-Gvir, dan Bezalel Smotrich ke Belgium, sekatan terhadap import dari wilayah jajahan Israel, serta larangan penggunaan ruang udara dan transit senjata dihantar ke Israel.

“Saya tidak dapat membayangkan Belgium menyertai kelompok kecil negara yang tidak mengiktiraf Palestin,” tambah Prevot.

“Jika kita terlepas peluang ini, ia akan menjadi bencana kepada imej antarabangsa Belgium.”

Terdahulu, pemimpin CD&V Sammy Mahdi turut mengugut menyekat dokumen kerajaan melainkan Belgium mengambil pendirian lebih tegas.

De Wever juga dijangka memanggil mesyuarat kabinet teras menteri minggu depan untuk membincangkan apa yang pejabatnya gambarkan sebagai ‘situasi geopolitik’, termasuk perang di Gaza dan pendirian Belgium terhadap Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.