Lebih 70% rakyat Britain tolak dasar tempatkan pencari suaka di hotel

Lebih 70% rakyat Britain tolak dasar tempatkan pencari suaka di hotel

Lebih satu pertiga pengundi atau 37% menganggap masalah imigresen isu paling kritikal bagi Britain.

Awal bulan ini, Majlis Bandaraya Epping berkata penggunaan Hotel The Bell untuk menempatkan migran tidak sejajar tujuan asal premis itu dan akan berusaha mengisytiharkannya menyalahi undang-undang. (Gambar EPA Images)
MOSCOW:
Lebih 70% rakyat Britain tidak bersetuju dengan dasar Perdana Menteri, Keir Starmer yang menempatkan pencari suaka di hotel, menurut tinjauan YouGov untuk akhbar The Times, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Data dipetik The Times menunjukkan 71% pengundi Britain percaya Starmer menangani isu penempatan migran di hotel dengan cara salah.

Pandangan itu turut dikongsi 56% penyokong Parti Buruh, parti pimpinan Starmer.

Lebih satu pertiga pengundi atau 37% menganggap masalah imigresen isu paling kritikal bagi Britain.

Pada masa sama, 31% rakyat Britain percaya parti populis sayap kanan, Reform UK pimpinan Nigel Farage lebih berupaya menangani isu ini.

Hanya 9% menaruh keyakinan kepada Parti Buruh dalam hal ini, manakala 6% percaya kepada Parti Konservatif.

Tinjauan itu dijalankan dari 20 hingga 21 Ogos lalu melibatkan 2,153 pengundi Britain, tanpa margin ralat dinyatakan.

Awal bulan ini, Majlis Bandaraya Epping menyatakan penggunaan Hotel The Bell untuk menempatkan migran tidak sejajar tujuan asal premis itu dan akan berusaha mengisytiharkannya menyalahi undang-undang.

Ketua majlis, Chris Whitbread menegaskan migran yang ditempatkan tidak disaring berdasarkan rekod jenayah.

Pada pertengahan Julai lalu, rusuhan tercetus di Epping susulan perbicaraan seorang migran 38 tahun yang dituduh merogol.

Ratusan penunjuk perasaan berulang kali berhimpun di depan Hotel The Bell dan dalam satu protes itu, mereka bertembung dengan polis hingga membawa kepada beberapa tangkapan.

Akhir bulan lalu, pihak berkuasa tempatan Epping menyeru kerajaan Britain menutup hotel yang digunakan untuk menempatkan pencari suaka.

Sepanjang tahun lalu, lebih 36,800 pendatang tanpa izin tiba di UK dengan menaiki bot merentasi Selat Inggeris.

Rekod tertinggi dicatatkan pada 2022 apabila lebih 45,700 migran mendarat di pantai Britain.

Pihak berkuasa UK membelanjakan beberapa juta pound sterling sehari untuk menampung pencari suaka di hotel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.