
Di bandar barat Cali, sebuah kenderaan dipasang bom digunakan untuk menyasarkan Sekolah Penerbangan Tentera Marco Fidel Suarez.
Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder, berkata laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya lima terbunuh dan 36 lagi cedera.
Eder mengumumkan larangan trak besar memasuki bandar itu kerana bimbang berlaku letupan susulan.
Insiden itu menyusul tiga serangan bom diselaraskan pada 10 Jun lalu yang menyebabkan tujuh maut dan lebih 50 lagi cedera di bandar berkenaan.
Serangan di Cali itu berlaku serentak dengan satu lagi insiden di wilayah utara Antioquia, apabila sebuah helikopter polis ditembak jatuh menggunakan dron sarat bahan letupan.
Sekurang-kurangnya lapan anggota polis terbunuh dan lapan lagi cedera, menurut kerajaan.
Presiden, Gustavo Petro menerusi hantaran X berkata, helikopter itu membawa anggota bagi operasi memusnahkan tanaman koka di perbandaran Amalfi.
Menurut laporan rasmi, kejadian itu berlaku di kawasan Los Toros dalam perbandaran Amalfi melibatkan UH-60 Black Hawk milik Direktorat Antinarkotik Polis Colombia.
Serangan bermula apabila penentang bersenjata mula melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang sedang menjalankan operasi pemusnahan tanaman.
Anggota terbabit kemudian meminta bantuan udara.
Sebaik helikopter tiba, ia terkena serangan dron sarat bahan letupan hingga menyebabkan ia terhempas.
Pengarah Polis Colombia, Carlos Fernando Triana Beltran, menyifatkan insiden itu “tindakan pengganas” dan mengesahkan anggotanya dikerahkan ke kawasan terbabit untuk merawat mangsa cedera serta meneruskan operasi.