Thailand cadang rundingan sempadan seterusnya di lokasi berkecuali

Thailand cadang rundingan sempadan seterusnya di lokasi berkecuali

Mesyuarat lebih wajar diadakan di lokasi seperti Malaysia, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand.

anwar ibrahim Hun Manet Phumtham Wechayachai
Pada Isnin, Thailand dan Kemboja persetujui gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas dianjurkan di Putrajaya oleh Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Kementerian Pertahanan Thailand mencadangkan agar mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan datang diadakan di lokasi berkecuali, seperti Malaysia.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Laksamana Muda Surasan Kongsiri berkata, cadangan itu selaras dengan amalan standard antarabangsa untuk tidak mengadakan mesyuarat antara pihak-pihak yang bertelagah di wilayah mana-mana negara yang terlibat dalam konflik.

Tambahnya, Pemangku Menteri Pertahanan Jeneral Natthapon Nakpanich dijadual menghadiri mesyuarat GBC itu, yang dicadangkan oleh Kemboja untuk diadakan pada 4 Ogos.

“Mesyuarat GBC memberi peluang untuk bersama-sama meneroka jalan ke hadapan dalam meredakan ketegangan dan menyelesaikan isu sempadan serta keselamatan, yang mencerminkan komitmen bersama kita terhadap keamanan, kestabilan, saling menghormati dan semangat kejiranan yang baik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, Surasan menekankan bahawa memandangkan sifat sensitif situasi di kedua-dua negara, lebih wajar agar mesyuarat itu diadakan di lokasi berkecuali, seperti Malaysia.

“Walaupun diakui bahawa, dalam keadaan biasa, mesyuarat dua hala diadakan secara bergilir – dan Thailand baru-baru ini menjadi tuan rumah – sesi akan datang ini bersifat luar biasa.

“Oleh itu, saya percaya adalah wajar untuk mengadakan mesyuarat ini di lokasi yang berkecuali,” katanya.

Surasan turut mencadangkan agar tempoh masa yang mencukupi diberikan untuk perbincangan komprehensif dan menyarankan agar mesyuarat itu diadakan dari 4 hingga 7 Ogos.

Konflik di sempadan Thailand-Kemboja bermula dengan pertempuran singkat pada 28 Mei dan memuncak menjadi pertempuran bersenjata pada 24 Julai.

Pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang dianjurkan di Putrajaya oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, selaku pengerusi Asean tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.