Tsunami landa timur jauh Rusia selepas gempa 8.7

Tsunami landa timur jauh Rusia selepas gempa 8.7

Sistem Amaran Tsunami AS memberi amaran 'gelombang berbahaya' dijangka dalam beberapa jam di sepanjang pantai Rusia, Jepun dan Hawaii.

Kamchatka tsunami
Gempa bumi bermagnitud 8.7 melanda Semenanjung Kamchatka di Rusia yang mencetuskan tsunami setinggi 4m menyebabkan pemindahan dan kerosakan bangunan. (Gambar X/@TheBelaaz)
KAMCHATKA:
Gempa kuat bermagnitud 8.7 melanda Semenanjung Kamchatka di wilayah timur jauh Rusia pada Rabu yang mencetuskan tsunami setinggi 4m sehingga menyebabkan pemindahan penduduk dan kerosakan bangunan.

“Gempa bumi hari ini serius dan paling kuat dalam beberapa dekad,” kata Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov dalam video di aplikasi Telegram.

Berdasarkan maklumat awal, katanya, tiada kecederaan dilaporkan, tetapi sebuah tadika mengalami kerosakan.

Sergei Lebedev, menteri wilayah bagi situasi kecemasan menggesa orang ramai menjauhi pantai semenanjung susulan tsunami setinggi 3m hingga 4m direkodkan di Kamchatka.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi pada kedalaman 19.3km itu berpusat kira-kira 125km ke timur-tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky, sebuah bandar dengan 165,000 penduduk di sepanjang pantai Teluk Avacha.

Agensi Meteorologi Jepun meningkatkan tahap amarannya dan menjangkakan gelombang tsunami sehingga 3m akan melanda kawasan pantai luas sekitar 0100 GMT. Stesen penyiaran NHK berkata, kerajaan mengeluarkan arahan pemindahan di beberapa kawasan.

Sistem Amaran Tsunami AS turut mengeluarkan amaran “gelombang tsunami berbahaya” dalam tempoh tiga jam akan datang di beberapa pantai Rusia, Jepun dan Hawaii. Pemerhatian tsunami turut berkuat kuasa bagi Guam dan pulau lain di Micronesia.

Arahan pemindahan untuk bandar kecil Severo-Kurilsk dikeluarkan susulan ancaman tsunami, kata Gabenor Sakhalin, Valery Limarenko di Telegram.

Kamchatka dan wilayah timur jauh Rusia terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan geologi aktif terdedah kepada gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.