
Komander kedua-dua negara mengadakan rundingan hari ini bagi memperkukuh perjanjian gencatan senjata itu.
Tentera Thailand (RTA) memaklumkan komander unit tentera yang ditempatkan di tiga sektor di sempadan Thailand-Kemboja telah mencapai persetujuan bersama untuk melaksanakan gencatan senjata dan menggantung semua pergerakan menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang dijadualkan pada Isnin depan (4 Ogos).
Jurucakap RTA Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata persetujuan dicapai semasa mesyuarat penyelarasan antara komander tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan pada awal hari ini.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung semua pergerakan tentera bagi mengelakkan salah faham atau ketegangan sementara menunggu hasil Mesyuarat GBC pada 4 Ogos.
“Mereka juga bersetuju membenarkan komander di semua peringkat berkomunikasi secara langsung sekiranya berlaku kecemasan,” menurut kenyataan.
Dalam perkembangan berasingan, satu lagi mesyuarat turut diadakan hari ini merangkumi beberapa perkara utama, termasuk pemberhentian tembakan serta-merta dan larangan penggunaan kekerasan atau senjata terhadap orang awam.
Ia juga menyentuh mengenai penghentian penambahan atau penempatan semula tentera yang boleh menimbulkan salah faham serta pengaturan untuk penghantaran pulang mangsa yang cedera dan terkorban dalam pertempuran baru-baru ini.
“Kedua-dua pihak bersetuju dengan langkah-langkah ini dan memutuskan untuk menubuhkan unit penyelarasan bersama di peringkat tempatan bagi menangani isu-isu mendesak dan mencegah insiden selanjutnya,” tambahnya.
Winthai berkata satu lagi mesyuarat yang dijalankan secara dalam talian turut mencapai keputusan selaras dengan hasil mesyuarat pertama.
Beliau juga mengesahkan gencatan senjata dikuatkuasakan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja sejak pagi tadi, sebelum mesyuarat-mesyuarat diadakan.
Di Phnom Penh, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Leftenan Jeneral Maly Socheata, mengesahkan mesyuarat diadakan antara komander tentera Kemboja dan tentera Thailand.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghormati gencatan senjata, menghentikan penempatan tentera, memulihkan saluran komunikasi dan perkongsian maklumat, serta mendapatkan panduan daripada pegawai atasan mereka mengenai sebarang isu yang belum diselesaikan,” katanya lapor Agence Kampuchea Presse.
Semasa rundingan gencatan senjata di Putrajaya pada Isnin, Kemboja dan Thailand bersetuju agar pegawai tertinggi tentera mengadakan pertemuan hari ini bagi mengambil tindakan susulan terhadap gencatan senjata itu.
Kedua-dua pihak juga mencapai persefahaman bersama, antara lain mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah pada 29 Julai, diikuti mesyuarat bersama atase pertahanan, diketuai oleh pengerusi Asean, jika dipersetujui kedua-dua pihak.
Mereka juga bersetuju mengadakan mesyuarat GBC pada 4 Ogos 2025, yang akan dihoskan oleh Kemboja.
Mesyuarat khas itu, yang diadakan atas inisiatif Malaysia dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bertujuan menamatkan konflik ketenteraan yang tercetus di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand sejak 24 Julai.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.