Bantuan udara ke Gaza langkah terakhir, kata PBB

Bantuan udara ke Gaza langkah terakhir, kata PBB

Jurucakap PBB Farhan Haq berkata ada kecederaan dilaporkan Ahad lalu apabila bantuan jatuh atas khemah.

gaza
PBB memberi amaran misi penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara di Gaza bmendatangkan risiko kepada orang awam di kawasan terjejas. (Gambar EPA Images)
HAMILTON:
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memberi amaran meskipun misi penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara disambung semula di Gaza, ia kekal langkah terakhir dan mendatangkan risiko kepada orang awam di kawasan terjejas, lapor Anadolu Ajansi.

“Walaupun kami mengalu-alukan semua usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk yang sangat memerlukannya, agensi PBB dan rakan pelaksana mengingatkan guguran udara pilihan terakhir dan boleh membahayakan orang awam di darat,” kata jurucakap PBB, Farhan Haq dalam sidang media.

Beliau memaklumkan ada kecederaan dilaporkan Ahad lalu apabila bantuan jatuh atas khemah.

Jelasnya, PBB tidak terbabit secara langsung dalam operasi sedang berlangsung, namun tetap menyambut baik semua usaha pemberian bantuan.

“Namun, anda tidak mungkin dapat menyalurkan lebih banyak bantuan melalui udara berbanding konvoi jalan raya.”

Mengulas keputusan terbaharu Israel mempermudah pergerakan konvoi bantuan, Haq berkata, daripada 17 misi yang memerlukan koordinasi dengan pihak berkuasa Israel, lapan dibenarkan termasuk dari Karem Shalom, manakala tiga ditolak dan dua dibatalkan.

“Empat misi, termasuk penghantaran makanan menghadapi halangan, namun berjaya diselesaikan.”

Tegasnya, sekatan Israel ke atas kemasukan bantuan mewujudkan suasana tidak menentu dan menyebabkan komuniti hilang keyakinan bantuan akan sampai kepada mereka.

“Akibatnya, banyak konvoi kami dirampas secara terus oleh orang awam yang kelaparan dan terdesak.

“Semalam, orang awam yang kelaparan memunggah bekalan makanan sebelum ia sempat sampai ke lokasi sasaran.”

Haq turut menekankan keperluan mendesak memastikan akses kemanusiaan berterusan dan selamat ke Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin memaklumkan 1,175 orang terbunuh dan 7,758 cedera ketika menunggu bantuan sejak 27 Mei lalu.

Ia turut melaporkan 14 lagi rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu akibat kebuluran serta kekurangan zat makanan, menjadikan jumlah kematian sejak 7 Okt 2023 meningkat kepada 147 orang – termasuk 88 kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.