
Pertikaian sempadan sekian lama bertukar menjadi pertempuran sengit dengan jet pejuang, kereta kebal dan tentera darat dikerahkan semalam.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai krisis itu lewat Jumaat.
Kementerian Dalam Negeri Thailand berkata, lebih 100,000 penduduk dari empat wilayah sempadan dipindahkan ke hampir 300 pusat perlindungan sementara.
Kementerian Kesihatan pula mengumumkan angka korban meningkat kepada 14 orang, membabitkan 13 orang awam dan seorang anggota tentera.
Di bandar Samraong, Kemboja yang jaraknya hanya 20km dari sempadan, wartawan AFP melaporkan terdengar tembakan meriam pada pagi Jumaat menyebabkan penduduk terpaksa melarikan diri.
“Saya tinggal sangat dekat dengan sempadan. Kami takut kerana mereka mula tembak semula kira-kira 6:00 pagi,” kata Pro Bak, 41.
Beliau membawa isteri dan anak-anaknya ke sebuah kuil Buddha untuk mendapatkan perlindungan.
“Saya tidak tahu bila kami boleh pulang ke rumah,” katanya.
Wartawan AFP turut melihat pasukan tentera mengawal pelancar roket dan bergerak ke arah sempadan.
Tentera Thailand berkata, pertempuran berlaku di enam lokasi, termasuk dua kuil purba pada Khamis.
Tentera darat yang disokong kereta kebal bertempur untuk mengawal kawasan sempadan. Kemboja melancarkan roket ke Thailand yang mengerahkan jet F-16 ke sasaran tentera negara jirannya.
Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain kerana melepaskan tembakan terlebih dahulu. Thailand mendakwa Kemboja menyasarkan infrastruktur awam, termasuk hospital dan stesen minyak.
Pertempuran pada Khamis tercetus beberapa jam selepas Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil utusannya pulang, selepas lima anggota peronda tentera Thailand cedera akibat periuk api.
Kemboja menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap terendah pada Khamis, memanggil semua kecuali seorang diplomatnya pulang serta mengusir duta Thailand dari Phnom Penh.
Sumber diplomatik memberitahu AFP, atas permintaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat untuk membincangkan pertempuran maut itu.
Amerika Syarikat dan Perancis menggesa kedua-dua negara segera menamatkan konflik itu, manakala Kesatuan Eropah serta China yang juga sekutu rapat Phnom Penh menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran itu dan menyeru dua negara itu mengadakan dialog.