
FFC menerusi Telegram memaklumkan kapal bantuan kemanusiaan itu meneruskan misinya dan kini berada kurang 349 batu nautika (646km) dari Gaza.
“Komunikasi dengan kapal Handala terganggu kira-kira dua jam dan beberapa dron dikesan berhampiran kapal, menimbulkan kebimbangan serius kemungkinan berlaku serangan.”
Kumpulan itu turut menyeru penyokong “terus memberi tumpuan kepada Handala dan Palestin serta mendesak kerajaan dan media anda menamatkan sekatan haram ke atas Gaza”.
Dalam sebuah video, aktivis Tan Safi berkata, kru kapal tidak tahu gangguan global yang menjejaskan perkhidmatan internet satelit Starlink milik Elon Musk.
“Beberapa pakar sedang menyiasat dan mengatakan ia sesuatu yang luar biasa. Ini bukan kali pertama Elon bekerjasama dengan Israel, namun gangguan kali ini berkemungkinan besar adalah gangguan global.”
Safi berkata, dron masih berada berhampiran kapal menyebabkan aktivis terus berwaspada.
Starlink sebelum ini mengesahkan berlaku gangguan sambungan global, namun kebanyakannya berjaya dipulihkan dalam tempoh beberapa jam.
Terdahulu, FFC memaklumkan pihaknya terputus hubungan dengan kapal Handala di tengah-tengah kebimbangan berhubung serangan selepas beberapa dron dikesan berhampiran kapal itu.
Insiden itu menyusul beberapa konfrontasi serupa sebelum ini, termasuk serangan dron ke atas kapal MV Conscience dekat Malta Mei laludan pemintasan kapal Madlene pada Jun yang menyaksikan tentera Israel menahan 12 aktivis.