
Jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal, manakala dua lagi mangsa yang cedera merupakan ahli keluarga mangsa yang terkorban.
Menurut laporan, beliau berkata lebih tujuh askar Thailand dipercayai turut mengalami kecederaan berikutan pertempuran itu.
“Pihak berkuasa Thailand telah memindahkan penduduk dari kawasan terjejas demi keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Jirayu berkata komander perang Tentera Diraja Thailand diberi kuasa untuk membuat keputusan secara serta-merta.
“Semua lintasan sempadan telah ditutup sejak 8 pagi tadi,” katanya.
Kemboja dan Thailand terlibat dalam pertikaian diplomatik sejak 28 Mei, susulan pertempuran sempadan antara tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan Preah Vihear.
Seorang askar Kemboja terbunuh dalam insiden berbalas tembakan itu.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempertikaikan sempadan sepanjang 817 km yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad, dan pertikaian itu terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Pada Rabu, kerajaan Thailand menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas serta-merta selepas seorang askarnya cedera akibat letupan periuk api yang didakwa baru ditanam.
Kerajaan Kemboja bertindak balas dengan menurunkan hubungan diplomatiknya dengan Thailand ke tahap paling rendah pada Khamis.