Jawatankuasa Olimpik AS secara de facto haram penyertaan wanita transjantina

Jawatankuasa Olimpik AS secara de facto haram penyertaan wanita transjantina

USOPC terbit versi terkini 'Polisi Keselamatan Atlet' di laman web rasminya pada Isnin.

Olympics
Sukan Olimpik Musim Panas akan datang dijadual berlangsung di Los Angeles pada 2028. (Gambar AP)
LOS ANGELES:
Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC) secara de facto mengharamkan penyertaan wanita transjantina dalam acara sukan Olimpik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

USOPC menerbitkan versi terkini ‘Polisi Keselamatan Atlet’ di laman web rasminya pada Isnin, bertarikh 18 Julai.

Dokumen 27 muka surat itu tidak menyebut perkataan ‘transjantina’, namun menyatakan bahawa jawatankuasa tersebut akan terus bekerjasama dengan badan lain ‘bagi memastikan wanita mempunyai persekitaran pertandingan yang adil dan selamat selaras dengan Perintah Eksekutif 14201’.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Februari bertajuk ‘Menjauhkan Lelaki Daripada Sukan Wanita’.

Di bawah perintah itu, institusi pendidikan – yang berperanan penting sebagai laluan utama ke arena sukan profesional – berdepan risiko kehilangan pembiayaan persekutuan jika membenarkan atlet transjantina bertanding dalam pasukan yang tidak sepadan dengan jantina ketika lahir.

Perintah eksekutif itu turut mengarahkan Setiausaha Negara AS Marco Rubio untuk mendesak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa meminda ‘piawaian yang mentadbir acara sukan Olimpik bagi menggalakkan keadilan, keselamatan dan kepentingan terbaik atlet wanita’ dengan menggunakan ‘segala langkah wajar dan yang tersedia’.

Sukan Olimpik Musim Panas akan datang dijadual berlangsung di Los Angeles pada 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.