85 maut Israel serang seluruh Gaza

85 maut Israel serang seluruh Gaza

Lebih 59,100 rakyat Palestin terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.

Kepulan asap kelihatan selepas serangan udara dan darat Israel ke atas Semenanjung Gaza pada Selasa. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya 85 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak awal Selasa, lapor Anadolu Ajansi memetik sumber perubatan.

Seramai 15 warga Palestin maut dalam serangan ke atas sebuah kediaman di barat laut Gaza.

Di utara Gaza, lima lagi terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila kawasan kejiranan Al-Nasr di barat Bandar Gaza diserang.

Seramai 12 rakyat Palestin turut terkorban ketika menunggu trak bantuan tiba berhampiran kawasan Zikim di utara Beit Lahia yang kini dikuasai Israel.

Di kejiranan al-Tuffah, timur Gaza, seorang penduduk maut akibat serangan dron.

Tujuh lagi terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam dekat Masjid Ali di Zeitoun, tenggara Gaza.

Pesawat tempur Israel turut mengebom khemah yang menempatkan pelarian di kem Shati, mengorbankan 16 orang dan mencederakan lebih 25 yang lain, menurut pasukan perubatan.

Menurut agensi berita rasmi Palestin (Wafa), mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak dibawa ke Hospital Al-Shifa di bandar sama susulan serangan udara pada awal pagi itu.

Seorang lagi pemuda Palestin terbunuh selepas tentera Israel menyerang sekumpulan penduduk sedang menunggu bantuan di barat Bandar Gaza.

Jet pejuang Israel turut mengebom kawasan berhampiran sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di Zeitoun, menyebabkan empat terkorban.

Dua pemuda Palestin terbunuh dalam serangan di kawasan Ber al-Naaja, utara Gaza.

Tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah orang awam sedang menunggu bantuan di pusat agihan bantuan tajaan Amerika Syarikat dekat Koridor Netzarim di tengah Gaza, menyebabkan tujuh maut.

Di kem pelarian Bureij, dua beradik terbunuh dalam satu lagi serangan udara.

Sementara itu, lapan lagi penduduk maut akibat serangan darat dan udara di bandar Deir al-Balah.

Di selatan Gaza, tiga maut dalam serangan di Khan Younis, manakala dua lagi terbunuh ketika menunggu bantuan dekat pusat agihan di barat Rafah.

Sejak Oktober 2023, lebih 59,100 rakyat Palestin terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza. Serangan berterusan turut memusnahkan infrastruktur di wilayah itu menyebabkan sistem kesihatan lumpuh dan krisis makanan yang serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.