
HANOI: Sekurang-kurangnya 37 maut, manakala 10 lagi terselamat selepas sebuah bot pelancong terbalik di Teluk Ha Long, Vietnam pada Sabtu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik pegawai.
Bot pelancong QN7105 yang membawa 48 penumpang dan lima kru itu terbalik ketika cuaca buruk melanda utara Vietnam dan Teluk Tonkin kira-kira 3 petang.
Menurut laporan Jawatankuasa Pemandu Pencegahan Bencana Alam dan Mencari dan Menyelamat wilayah, bot itu tiba-tiba dipukul ribut ketika berada di antara Pulau Hon Ga Choi dan Gunung Bai Tho, kira-kira 3 batu nautika dari pantai.
Setakat ini, 47 orang ditemui – 10 terselamat dan 37 disahkan maut, termasuk empat mangsa belum dikenal pasti.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dalam keadaan cuaca mencabar.