
Perhimpunan itu disertai pekerja pelabuhan, ahli pelbagai pertubuhan progresif pro-Palestin dan pertubuhan lain yang menyokong perjuangan Palestin serta penyokong parti berhaluan kiri. Mereka membawa bendera Palestin dan sepanduk menyuarakan solidariti serta mengecam perang genosid Israel di Gaza.
Presiden Kesatuan Pekerja Pengendalian Kontena Pelabuhan Piraeus, Markos Bekris, berkata perhimpunan itu bagi menghalang pemindahan lima kontena keluli gred ketenteraan yang tiba dari India ke kapal lain menuju Israel.
“Kami sama sekali tidak mahu negara dan pelabuhan kami terlibat dalam perang ini atau penghantaran peralatan ketenteraan yang akan digunakan dalam peperangan.
“Kami tidak mahu peralatan ini digunakan terhadap rakyat Palestin yang berjuang untuk menubuhkan negara mereka sendiri dan kami tidak mahu ia menyebabkan pembunuhan wanita serta kanak-kanak.
“Kami tidak akan mengotorkan tangan kami dengan darah orang tidak berdosa.”
Seorang penunjuk perasaan dikenali Katherina berkata, beliau hadir bersama ratusan peserta lain untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.
Tegasnya, muatan kargo itu akan digunakan untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan menuduh Kesatuan Eropah serta Greece bersubahat dalam hal itu.
Israel yang menolak gesaan antarabangsa melaksanakan gencatan senjata, melancarkan serangan besar-besaran di Gaza sejak Oktober 2023 yang mengorbankan hampir 58,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di Gaza.