Perang Gaza melangkaui tahap malapetaka kemanusiaan, kata PBB

Perang Gaza melangkaui tahap malapetaka kemanusiaan, kata PBB

Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin Philippe Lazzarini menggesa tindakan segera oleh negara-negara.

UNRWA
Ratusan kakitangan UNRWA telah terbunuh manakala bantuan disekat selain orang awam terus menjadi mangsa dalam perang di Gaza, kata PBB. (Gambar AFP)
GENEVA:
Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin pada Rabu memberi amaran bahawa perang di Gaza telah meningkat melangkaui tahap malapetaka kemanusiaan, sambil menyifatkannya sebagai ancaman asas terhadap orde antarabangsa yang berteraskan peraturan, serta menggesa tindakan segera oleh negara-negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Seluruh keluarga, seluruh kejiranan, seluruh generasi sedang dihapuskan di Gaza,” kata Philippe Lazzarini menerusi platform X, merujuk kepada ucapannya pada Persidangan Tergempar Bogota.

“Ratusan kakitangan UNRWA — rakan sekerja dan sahabat kami — telah terbunuh. Bantuan disekat. Orang awam tidak dilindungi,” tambahnya.

Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) itu menegaskan bahawa perang di Gaza bukan sahaja satu malapetaka kemanusiaan, malah ia adalah krisis terhadap orde antarabangsa berteraskan peraturan,” sambil menekankan kepentingan tindakan kolektif oleh negara-negara.

Dalam konteks ini, Lazzarini menyambut baik penubuhan Kumpulan The Hague — sebuah gabungan negara anggota yang komited menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam Palestin di tengah-tengah pelanggaran norma kemanusiaan yang meluas.

“Ini adalah detik yang memerlukan keberanian. Saya menggesa negara-negara anggota supaya bertindak demi rakyat Gaza,” katanya mengakhiri ucapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.