Tarif AS boleh lumpuhkan dagangan, kata perunding EU

Tarif AS boleh lumpuhkan dagangan, kata perunding EU

Rantaian bekalan rentas Atlantik akan terjejas teruk di kedua-dua belah susulan tarif 30% AS ke atas import EU, kata Maros Sefcovic.

Pesuruhjaya Perdagangan EU Maros Sefcovic berkata, tarif terbaru dikenakan pentadbiran Donald Trump akan halang perdagangan. (Gambar EPA Images)
BRUSSELS:
Tarif 30% yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari Kesatuan Eropah (EU) akan memberi kesan serius terhadap perdagangan rentas Atlantik dan rantaian bekalan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik ketua perunding perdagangan EU.

“Akan berlaku impak besar terhadap perdagangan. Hampir mustahil untuk meneruskan perdagangan seperti yang biasa kita amalkan dalam hubungan rentas Atlantik,” kata Pesuruhjaya Perdagangan EU Maros Sefcovic, merujuk cadangan kenaikan tarif yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

“Ia menghalang perdagangan,” tegas Sefcovic, yang mengetuai pasukan perunding EU dalam pertikaian perdagangan dengan Washington.

“Rantaian bekalan rentas Atlantik akan terjejas teruk di kedua-dua belah Atlantik,” katanya, sambil menyatakan AS sendiri tidak mahu senario sedemikian.

Beliau berkata, EU menunjukkan ‘kesabaran luar biasa, serta kreativiti yang tinggi dalam mencari penyelesaian’ bersama AS.

Pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai pengenaan tarif tambahan dibuat ketika perunding EU berharap satu perjanjian dengan Washington hampir dicapai.

Walaupun kecewa, Sefcovic masih berusaha mendapatkan penyelesaian melalui rundingan dan mengumumkan perbincangan baharu dengan rakan sejawatannya dari AS akan berlangsung pada Isnin.

“Saya tidak boleh bayangkan berundur tanpa usaha bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Sefcovic kini menghadiri mesyuarat menteri perdagangan EU di Brussels. Beliau berkata, kemungkinan langkah balas akan turut dibincangkan bersama menteri berkenaan sekiranya rundingan dengan AS menemui kegagalan.

Trump baru-baru ini turut menghantar pelbagai surat kepada pemimpin asing memaklumkan mengenai tarif tinggi baharu yang akan dikenakan ke atas barangan mereka mulai 1 Ogos. Beliau juga mengumumkan tarif 30% ke atas Mexico pada Sabtu.

Dalam masa yang sama, beliau melanjutkan tempoh penangguhan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik yang diumumkan pada 2 April lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.