Angka korban banjir kilat di Texas kini 91

Angka korban banjir kilat di Texas kini 91

Pihak berkuasa mengesahkan 75 kematian di Kerr County, termasuk kanak-kanak – kebanyakannya di sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan.

Anggota bomba dari Ciudad Acuña, Mexico memindahkan satu mayat ke rakit di Sungai Guadalupe, Texas pada Isnin selepas banjir kilat melanda kawasan itu Jumaat lalu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Angka korban akibat banjir kilat di Texas meningkat kepada 91 orang, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Rumah Putih pada Isnin.

Di Kerr County, pihak berkuasa mengesahkan 75 kematian, termasuk kanak-kanak – kebanyakannya di sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan.

Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa hilang, namun usaha mereka dihalang hujan berterusan, banjir belum surut serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

Tragedi di Kem Mystic itu menarik perhatian seluruh negara, selepas 27 kanak-kanak dan pembimbing maut, sementara beberapa lagi masih hilang.

Kem yang ditubuhkan pada 1926 itu menempatkan lebih 750 kanak-kanak ketika banjir melanda selepas hujan lebat.

“Kami turut berduka bersama keluarga sedang menanggung tragedi tidak terbayang ini. Kami sentiasa mendoakan mereka.

“Kami juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan negeri yang sedang mengerahkan pelbagai sumber bagi mencari anak-anak kami masih hilang,” menurut kenyataan pihak pengurusan kem.

Banjir kilat melanda awal pagi Jumaat lalu ketika ribuan orang berkelah di kawasan luar bandar dekat sungai sempena cuti panjang 4 Julai.

Menurut pegawai tempatan, lebih 850 orang berjaya diselamatkan dekat kawasan kem, manakala lapan dilaporkan cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.