
Keputusan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Pertubuhan Penerbangan Awam Iran serta penilaian keselamatan dan sekuriti yang terperinci berdasarkan keadaan semasa negara itu, kata kementerian dalam kenyataan di laman sesawangnya.
Menurut kenyataan itu, penerbangan disambung semula ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di ibu negara Tehran, serta lapangan terbang di wilayah utara, timur, barat dan selatan negara, kecuali di Isfahan dan Tabriz yang terletak di wilayah tengah dan barat laut Iran.
Lapangan terbang di Tehran serta wilayah utara, barat dan selatan kini mengendalikan penerbangan domestik dan asing dari 5pagi hingga 6petang waktu tempatan (1.30 pagi hingga 2.30 petang GMT).
Kementerian turut memaklumkan, ruang udara di bahagian timur dibuka kepada penerbangan domestik, asing dan transit antarabangsa sepanjang masa, manakala ruang udara di wilayah tengah dan barat dibuka kepada penerbangan antarabangsa yang melalui kawasan itu.
Kementerian memberi jaminan bahawa lapangan terbang di Isfahan dan Tabriz akan beroperasi semula sebaik sahaja prasarana dapat disediakan.
Iran menutup ruang udaranya pada 13 Jun susulan serangan udara Israel ke atas Tehran dan kawasan lain. Selepas 12 hari konflik udara, kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata pada 24 Jun.