Pengarah Hospital Indonesia, keluarga maut dibedil Israel di Gaza

Pengarah Hospital Indonesia, keluarga maut dibedil Israel di Gaza

Kediaman Dr Marwan al-Sultan dan ahli keluarganya dibedil dalam serangan udara.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengecam tindakan pembunuhan Dr Marwan al-Sultan dan ahli keluarga sebagai ‘jenayah keji’ terhadap petugas kesihatan. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Pengarah Hospital Indonesia di Gaza, Dr Marwan al-Sultan terkorban bersama ahli keluarganya dalam serangan Israel yang membedil kediaman mereka di Tal al-Hawa, barat daya Bandar Gaza pada Rabu, menurut pertubuhan kemanusiaan Indonesia.

Medical Emergency Rescue Committee (MERC), sebuah NGO berpangkalan di Jakarta yang mengendalikan hospital berkenaan mengesahkan pemergian Marwan berdasarkan maklumat pasukan tempatan mereka di Gaza.

“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian Dr Marwan dan ahli keluarganya akibat serangan udara yang mengenai kediaman mereka,” kata seorang sukarelawan MERC di Gaza.

Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu, manakala beberapa yang lain cedera, menurut kenyataan organisasi berkenaan.

Marwan, seorang warga Palestin digambarkan sebagai ‘tokoh perubatan yang amat berdedikasi’ yang telah lama berkhidmat untuk rakyat Gaza, khususnya ketika krisis berulang dan konflik bersenjata.

“Pemergiannya merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada rakan-rakan sejawat, tetapi juga kepada para pesakit serta masyarakat Gaza yang mengenalinya.

“Semoga beliau dan keluarganya dikurniakan tempat terbaik di akhirat.”

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengecam tindakan disifatkan sebagai ‘jenayah keji’ terhadap petugas kesihatan.

“Setiap serangan ke atas petugas perubatan dan kemanusiaan membuktikan pendekatan berdarah dan niat jahat yang disengajakan untuk menyasarkan mereka secara langsung,” menurut kenyataan kementerian itu.

Kerajaan Indonesia turut menyampaikan ucapan takziah dan kecaman terhadap serangan itu.

“Indonesia merakamkan ucapan takziah atas pemergian Dr Marwan dan keluarganya pada 2 Julai, serta mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel,” menurut hantaran Kementerian Luar di platform X.

Dalam kenyataan itu, Marwan dikenang atas ‘khidmat, komitmen dan perjuangan atas nama kemanusiaan dan keamanan di Palestin’, selain menegaskan Indonesia akan terus memantau keadaan semasa Hospital Indonesia.

Indonesia sekali lagi menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta dan penamatan apa yang digambarkan sebagai kekejaman Israel.

Hospital Indonesia yang terletak di utara Gaza dan dibiayai masyarakat sivil Indonesia menyediakan perkhidmatan rawatan kritikal sejak 2016, dan Marwan memainkan peranan penting dalam memastikan ia terus beroperasi di tengah-tengah konflik berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.