JI ‘kini sejarah’, Indonesia terus usaha penyahradikalan

JI ‘kini sejarah’, Indonesia terus usaha penyahradikalan

Proses penyahradikalan tumpu promosi kesederhanaan beragama, identiti kebangsaan, dan keusahawanan.

Majlis diadakan pihak berkuasa Indonesia sempena setahun pembubaran Jemaah Islamiyah, di Sentul, Jawa Barat. (Gambar BNPT)
JAKARTA:
Badan antikeganasan Indonesia mengisytiharkan bahawa Jemaah Islamiyah (JI), rangkaian pelampau yang dikaitkan dengan al-Qaeda, kini ‘hanya tinggal sejarah’ sempena setahun selepas pembubaran rasmi kumpulan itu.

“JI adalah sebahagian daripada masa lampau dan menjadi tanggungjawab negara untuk membimbing bekas ahlinya,” kata Ketua Pesuruhjaya Badan Nasional Antikeganasan (BNPT) Eddy Hartono pada acara peringatan di Sentul, Jawa Barat.

Eddy berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha penyahradikalan pasca penjara yang mempromosi kesederhanaan beragama, identiti kebangsaan, dan keusahawanan melalui kerjasama antara agensi.

“Kami akan terus menilai program kami dengan berkoordinasi bersama kementerian dan agensi. Segala usaha bersama ini telah membuahkan hasil yang baik dan kami akan terus bekerjasama,” katanya.

Acara bertemakan ‘Saat untuk Merenung dan Menilai’ itu dianjurkan unit elit antikeganasan polis, Densus 88, yang telah mengetuai operasi antikeganasan Indonesia sejak awal 2000-an, menurut kenyataan BNPT.

Ditubuhkan pada 1990-an dan bertanggungjawab dalam serangan maut termasuk pengeboman Bali 2002, JI secara rasmi mengumumkan pembubarannya pada satu acara di Bogor, Jawa Barat, pada Jun 2024.

Pengarah Penguatkuasaan Densus 88 Muhammad Tedjo Kusumo, menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan BNPT bagi membantu bekas ahli JI kembali menjadi sebahagian daripada Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI).

Bekas Ketua JI Para Wijayanto yang pernah mengetuai majlis kepimpinan kumpulan itu, menyeru bekas ahli kumpulan untuk kekal setia kepada negara.

“Saya ingatkan semua tentang komitmen kepada keterbukaan dan kepercayaan, serta komitmen dan konsisten. Ini penting untuk memastikan proses integrasi semula berkekalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.