
Walaupun kadar akses tenaga asas meningkat sejak 2022, laporan itu memberi amaran kadar semasa masih tidak mencukupi untuk mencapai akses sejagat menjelang 2030, iaitu satu daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Walaupun terdapat kemajuan, jurang ketaksamaan serantau kekal ketara. Laporan itu menganggarkan 1.5 bilion orang di kawasan luar bandar masih tiada akses kepada penyelesaian memasak bersih, manakala lebih dua bilion orang terus bergantung kepada bahan api mencemarkan dan berbahaya seperti kayu api serta arang untuk keperluan memasak.
“Walaupun terdapat kemajuan di beberapa bahagian dunia, pengembangan bekalan elektrik dan akses memasak bersih masih berjalan dengan amat perlahan, khususnya di Afrika,” kata Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol, memandangkan 85% penduduk dunia yang tiada akses elektrik berada di sub-Sahara Afrika.
Laporan itu mengenal pasti kekurangan pembiayaan mencukupi dan mampu milik sebagai punca utama ketidaksamaan serantau dan kemajuan perlahan, sambil menekankan “walaupun aliran kewangan awam antarabangsa ke negara membangun bagi menyokong tenaga bersih meningkat sejak 2022, namun jumlah diterima pada 2023 jauh lebih rendah berbanding 2016.”
Laporan itu menggesa kerjasama antarabangsa lebih kukuh antara sektor awam dan swasta untuk meningkatkan sokongan kewangan kepada negara membangun, khususnya di sub-Sahara Afrika.