
“Seperti yang ditegaskan berkali-kali oleh Iran: Israel yang memulakan peperangan terhadap Iran, bukan sebaliknya.
“Sehingga kini, TIADA sebarang ‘persetujuan’ berkaitan gencatan senjata atau pemberhentian operasi ketenteraan,” kata Abbas Araghchi menerusi hantaran X.
Kenyataan itu menyusul pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa Israel dan Iran mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata secara “penuh dan menyeluruh” di tengah-tengah konflik semakin memuncak di Timur Tengah.
“Namun, sekiranya rejim Israel menghentikan pencerobohan haramnya terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya 4 pagi waktu Tehran, kami tiada hasrat untuk meneruskan serangan balas selepas itu.
“Keputusan muktamad berhubung pemberhentian operasi ketenteraan kami akan dibuat kemudian,” kata Araghchi.
Beliau berkata, operasi ketenteraan Iran untuk “menghukum Israel atas pencerobohan dilakukan” diteruskan sehingga saat terakhir, iaitu 4 pagi waktu tempatan (0030 GMT).
“Bersama seluruh rakyat Iran, saya merakamkan penghargaan kepada angkatan tentera kita yang berani, sentiasa bersiap sedia mempertahankan tanah air tercinta hingga titisan darah terakhir dan yang telah memberi tindak balas terhadap setiap serangan musuh sehingga ke detik terakhir.”
Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin, menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan susulan serangan AS ke atas tiga tapak nuklear Iran Ahad lalu.