Penasihat kanan pemimpin tertinggi Iran sahkan simpanan uranium selamat

Penasihat kanan pemimpin tertinggi Iran sahkan simpanan uranium selamat

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengesahkan bahawa tentera AS mengebom tiga kemudahan nuklear Iran – Fordo, Natanz dan Isfahan.

Isfahan nuclear
Stesen penyiaran rasmi Iran melaporkan semua lokasi yang menjadi sasaran AS, telah dikosongkan sebelum serangan dan bahan nuklear sensitif dipindahkan ke lokasi selamat. (Gambar Satelit Maxar Technologies/ EPA Images)
ISTANBUL:
Seorang penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei pada Ahad mengesahkan bahawa simpanan uranium yang diperkaya Irab masih utuh meskipun Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga tapak nuklear, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Walaupun tapak nuklear dimusnahkan, permainan belum tamat.

“Bahan diperkaya, pengetahuan tempatan dan tekad politik masih kekal.

“Dengan hak mempertahankan diri secara sah, inisiatif politik dan operasi kini milik pihak yang bertindak bijak dan mengelak serangan melulu. Akan ada kejutan susulan!” kata Ali Shamkhani menerusi hantaran di platform X.

Stesen penyiaran rasmi Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) melaporkan bahawa kesemua lokasi yang menjadi sasaran telah dikosongkan sebelum serangan dan bahan nuklear sensitif dipindahkan ke lokasi selamat, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Terdahulu, Presiden AS Donald Trump mengesahkan bahawa tentera AS mengebom tiga kemudahan nuklear Iran – Fordo, Natanz dan Isfahan.

Menurut laporan, enam bom bunker-buster digugurkan ke atas kemudahan bawah tanah Fordo oleh pesawat pengebom B-2, manakala puluhan peluru berpandu jelajah dilancarkan dari kapal selam menyasarkan Natanz dan Isfahan.

Serangan itu merupakan tindakan terbaharu dalam siri serangan ketenteraan AS yang menyokong kempen ketenteraan Israel terhadap Iran sejak 13 Jun lalu, yang kemudian mendorong Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.