
“Sejak dari awal krisis ini, saya berulang kali mengecam sebarang bentuk peningkatan ketenteraan di Timur Tengah. Rakyat di rantau ini tidak mampu menanggung satu lagi kitaran kemusnahan.
“Namun kini, kita berisiko terperangkap dalam kitaran balas-membalas yang tiada penghujung,” katanya dalam ucapan sebelum mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB.
Untuk mengelakkan kejadian itu, beliau berkata, diplomasi perlu diutamakan dan orang awam mesti dilindungi, manakala laluan perkapalan maritim selamat harus dijamin.
“Kita mesti bertindak – segera dan tegas – untuk menghentikan pertempuran dan kembali kepada rundingan serius serta berterusan mengenai program nuklear Iran,” tegasnya.
Guterres turut menekankan keperluan untuk “penyelesaian berwibawa, menyeluruh dan boleh disahkan – satu penyelesaian yang mampu mengembalikan kepercayaan – termasuk dengan akses penuh kepada pemeriksa IAEA sebagai pihak berkuasa teknikal PBB dalam bidang ini”.
Beliau menyifatkan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) sebagai tonggak kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Iran mesti menghormati sepenuhnya perjanjian ini. Semua negara anggota pula perlu bertindak sejajar tanggungjawab mereka di bawah Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa lain, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Katanya, PBB sedia menyokong apa jua usaha ke arah penyelesaian secara aman, namun keamanan tidak boleh dipaksa – ia mesti menerusi pilihan.
“Kita kini berdepan pilihan jelas. Satu jalan membawa kepada perang lebih luas, penderitaan manusia yang mendalam serta kerosakan serius terhadap sistem antarabangsa.
“Satu lagi jalan membawa kepada penyuraian konflik, diplomasi dan dialog. Kita semua tahu jalan yang betul.”
Beliau turut menggesa semua negara anggota bertindak secara rasional, berhemah dan segera.
“Kita tidak boleh – dan tidak boleh – berputus asa demi keamanan.”