1 maut, 10 cedera belon udara panas terhempas di Brazil

1 maut, 10 cedera belon udara panas terhempas di Brazil

Belon udara panas itu membawa 35 orang ketika ia terhempas di kawasan luar bandar Capela do Alto.

Wanita berusia 26 tahun maut manakala 10 lagi cedera selepas belon udara panas membawa pelancong terhempas di tenggara Brazil. (Gambar fail)
SAO PAULO:
Seorang wanita maut manakala 10 individu cedera selepas belon udara panas tanpa lesen yang membawa pelancong terhempas pada Ahad di negeri Sao Paulo, tenggara Brazil, lapor Xinhua memetik kenyataan polis tentera.

Belon udara panas itu membawa seramai 35 orang ketika ia terhempas di kawasan luar bandar Capela do Alto, sebuah bandar berhampiran Ipero, tempat ia berlepas.

Mangsa yang maut berusia 26 tahun.

Saluran berita Brazil, GloboNews melaporkan bahawa belon itu tidak memiliki lesen untuk penerbangan rekreasi atau pelancongan dan juruterbangnya telah ditahan selepas kejadian.

Konfederasi Belon Brazil yang berpusat di bandar Boituva turut memaklumkan bahawa belon udara panas berkenaan tidak berdaftar dengan organisasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.