Iran sedia henti serang Israel, kata menteri luar

Iran sedia henti serang Israel, kata menteri luar

Abbas Araghchi berkata Iran telah 'dipaksakan' dengan negara itu tidak punya pilihan selain bertindak balas.

Iran berjanji kepada para duta asing di Tehran akan henti lancar serangan balas jika Israel menamatkan serangannya ke atas negaranya. (Gambar AFP)
TEHRAN:
Menteri Luar Abbas Araghchi berkata Iran bersedia menghentikan serangannya ke atas Israel sekiranya Tel Aviv menamatkan serangan ke atas Tehran, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada para duta asing di Tehran, Araghchi menegaskan peperangan itu telah ‘dipaksakan’ ke atas Tehran dan Iran tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas.

“Pertahanan kami adalah sah sepenuhnya dan akan dilaksanakan dengan tegas, semata-mata sebagai tindak balas terhadap pencerobohan,” katanya.

“Jika serangan dihentikan, tindakan balas Iran juga akan dihentikan.”

Ketegangan meningkat secara mendadak antara Iran dan Israel susulan serangan udara bersepadu Israel ke atas beberapa lokasi di Tehran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear pada Jumaat, mencetuskan serangan balas Iran dalam beberapa jam selepas itu.

Pada malam Sabtu, Iran melancarkan gelombang kedua operasinya yang dinamakan ‘True Promise III’, dengan menyasarkan terutamanya kemudahan ekonomi dan industri di bandar pelabuhan Israel, Haifa. Dalam masa yang sama, serangan Israel mengenai Kementerian Pertahanan dan depot minyak di Tehran.

Iran memaklumkan seramai 78 terbunuh pada hari pertama serangan Israel, manakala puluhan lagi, termasuk kanak-kanak, terkorban pada hari kedua.

Pertempuran ini turut menyebabkan rundingan nuklear tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat yang dimediasi Oman tergendala. Pusingan keenam rundingan itu dijadual berlangsung di Muscat pada Ahad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.