
Dalam perbualan telefon pada Jumaat dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Araqchi memaklumkan butiran serangan Israel ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk pangkalan tentera, kemudahan nuklear, dan kawasan kediaman.
Beliau menegaskan tindakan Israel itu merupakan pelanggaran serius terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Iran sebagai sebuah negara anggota PBB berdaulat.
Diplomat tertinggi itu menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan pencerobohan terang-terangan, sambil menekankan Republik Islam berhak mempertahankan diri seperti termaktub dalam Perkara 51 Piagam PBB.
Araqchi menyeru PBB bertindak segera selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Piagam PBB untuk mengecam serangan Israel serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan.
Guterres dalam reaksi balas menyatakan kekesalan dan mengecam serangan tersebut, sambil berjanji akan menggunakan kapasiti PBB meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Dalam perkembangan awal pagi Jumaat, rejim Israel melancarkan siri serangan ketenteraan di sekitar ibu negara Iran, Tehran, serta beberapa bandar lain. Dalam peningkatan ketara konflik, Tel Aviv turut menyasarkan bangunan kediaman di dalam dan sekitar Tehran.
Tentera Israel turut melancarkan serangan terhadap kepimpinan tertinggi ketenteraan Iran. Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera Iran Mohammad Baqeri dan Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Hossein Salami dilaporkan terbunuh dalam serangan itu di Tehran.