
TEHRAN: Bunyi letupan dilaporkan kedengaran di dalam dan sekitar Tehran, Iran, ketika media Israel melaporkan rejim Zionis sedang melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Letupan kedengaran awal pagi Jumaat dan beberapa imej serta rakaman tidak disahkan mula tular di media sosial, memaparkan kepulan asap tebal di ruang udara bandar raya Tehran.
Setakat ini, punca sebenar letupan belum dapat dipastikan, dan dakwaan Israel belum dapat disahkan secara rasmi.
Beberapa hari lalu, media Amerika Syarikat dan Israel melaporkan kemungkinan serangan bakal dilancarkan ke atas Iran.
Susulan itu, pihak berkuasa Iran memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan terhadap wilayahnya akan membawa akibat yang amat dahsyat.