Israel undang ‘takdir pahit dan pedih’, kata Ayatollah

Israel undang ‘takdir pahit dan pedih’, kata Ayatollah

Pemimpin tertinggi Iran itu berkata rejim Zionis perlu sedia hadapi hukuman keras.

bomba Tehran
Pasukan bomba dan penyelamat di luar sebuah bangunan musnah dalam serangan udara Israel di tengah Tehran pada Jumaat. (Gambar EPA Images)
TEHRAN:
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata rejim Israel mengundang “takdir pahit dan pedih” susulan serangan udara ke atas negara itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Dalam perutusan pada pagi Jumaat, beberapa jam selepas Israel melancarkan serangan ke Tehran dan bandar lain, Ayatollah Khamenei berkata, rejim Zionis harus bersedia menghadapi hukuman keras.

“Kepada bangsa Iran yang agung! Rejim Zionis dengan tangan jahat dan berdarahnya telah melakukan jenayah di negara kita yang tercinta dan mendedahkan lagi sifat kejamnya dengan menyerang kawasan kediaman.

“Rejim itu harus menanti balasan keras,” katanya dalam perutusan itu.

Beliau berkata, beberapa komander dan saintis dibunuh dalam serangan berkenaan.

“Pengganti dan rakan seperjuangan mereka akan segera meneruskan tugasan mereka.

“Dengan jenayah ini, rejim Zionis menempah takdir yang pahit dan menyakitkan buat dirinya dan pasti akan menyaksikan takdir itu menimpanya.”

Rejim Israel melancarkan serangan di dalam dan sekitar Tehran serta beberapa bandar lain pada awal pagi Jumaat.

Imej yang tular menunjukkan bangunan kediaman rosak teruk di beberapa lokasi di ibu negara.

Saksi dan wartawan televisyen kerajaan melaporkan mereka melihat mayat wanita dan kanak-kanak terkorban.

Dalam laporan berasingan, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mohammad Baqeri dan Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam, Hossein Salami antara yang terbunuh dalam dua serangan berasingan di Tehran awal pagi tadi.

Komander Markas Khatam al-Anbia, Gholamali Rashid turut terbunuh dalam serangan itu.

Dua saintis nuklear, iaitu Presiden Universiti Azad Islam, Mohammad-Mehdi Tehranchi dan bekas ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Fereydoun Abbasi turut terkorban dalam serangan berasingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.