
Dalam satu kenyataan tegas, pentadbiran Presiden Masoud Pezeshkian menyatakan, Iran telah mula mengambil langkah pertahanan, politik dan perundangan bagi memastikan Israel ‘menyesali serangannya’ dan tidak akan memberikannya ‘walau sedetik ketenangan’.
“Dengan rejim yang buas seperti ini, tiada bahasa yang sesuai melainkan bahasa kekuatan,” kata kenyataan itu, merujuk Israel.
Kerajaan Iran turut menegaskan, meskipun negara itu tidak pernah memulakan peperangan sejak 200 tahun lepas, ia tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan kedaulatan dan rakyatnya.
“Penamat kepada cerita ini akan ditulis oleh Iran,” menurut kenyataan itu.
Dunia kini lebih memahami pendirian Iran berhubung haknya terhadap teknologi pengayaan, keupayaan nuklear dan peluru berpandu, tambahnya.
Menurut laporan media Iran, serangan Israel yang bermula awal pagi Jumaat menyasarkan lokasi ketenteraan, nuklear dan kawasan kediaman. Gambar yang disiarkan menunjukkan kediaman yang musnah di beberapa kawasan ibu negara, manakala saksi dan televisyen negara melaporkan kematian orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
Antara yang terkorban termasuk Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera Iran Mejar Jeneral Mohammad Baqeri dan Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Mejar Jeneral Hossein Salami.