
Bercakap kepada agensi berita rasmi IRNA pada Rabu, Pezeshkian berkata, rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengenai isu nuklear masih diteruskan.
Tegasnya, rundingan itu dijalankan mengikut rangka kerja ditetapkan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
“Kami tidak akan tunduk kepada keangkuhan. Kami tidak akan sesekali menerima penghapusan penyelidikan nuklear kami hanya untuk menunggu kelulusan mereka bagi mendapatkan bahan nuklear yang kami perlukan untuk industri, perubatan, pertanian dan sains lain.”
Presiden AS, Donald Trump pula menyatakan beliau “kurang yakin” berbanding “beberapa bulan lalu” mengenai kemungkinan mencapai perjanjian nuklear dengan Iran, menurut laporan itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, pusingan keenam rundingan nuklear Iran-AS dijadualkan berlangsung di ibu negara Oman, Muscat pada Ahad ini.
Iran dan AS menyambung semula rundingan diplomatik isu nuklear April lalu, dengan Oman menjadi pengantara. Sejak itu, lima pusingan rundingan diadakan di Muscat dan Rom.
Walaupun kedua-dua pihak mengakui terdapat sedikit kemajuan, kejayaan muktamad belum dicapai.
Pengayaan uranium menjadi isu utama rundingan, dengan AS menuntut ia dihentikan, manakala Iran bertegas meneruskannya.