Denmark mahu henti guna Microsoft

Denmark mahu henti guna Microsoft

Langkah itu dimulakan Kementerian Hal Ehwal Digital sebelum disusuli semua kementerian lain.

Pemimpin kerajaan Denmark mahu kurangkan kebergantungan produk digital bukan dari Eropah dan ambil maklum risiko negara ketiga boleh ‘memutuskan akses’. (Gambar EPA Images)
MOSCOW:
Menteri Hal Ehwal Digital Denmark Caroline Stage Olsen merancang menghentikan secara berperingkat penggunaan produk syarikat Amerika Syarikat (AS) Microsoft pada komputer kementeriannya, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Media Denmark melaporkan pada April lalu, Stage menyatakan Kesatuan Eropah (EU) perlu mengurangkan kebergantungan terhadap produk digital bukan berasal dari Eropah dan mewujudkan persekitaran yang menyokong syarikat tempatan, memandangkan terdapat risiko negara ketiga boleh ‘memutuskan akses’.

Menurut akhbar Politiken pada Isnin, kementerian itu merancang dalam tempoh kira-kira sebulan dan menjelang akhir musim panas, kira-kira separuh daripada kakitangan akan menggunakan komputer dengan sistem pengendalian Linux dan Libre Office yang masing-masing menggantikan Windows dan Office 365.

Jika semuanya berjalan seperti dirancang, seluruh kementerian dijangka beralih daripada produk Microsoft kepada alternatif lain menjelang musim luruh, menurut laporan itu.

Menteri itu mengumumkan inisiatif berkenaan menjelang pelancaran strategi pendigitalan baharu selama empat tahun yang memberi keutamaan kepada kedaulatan digital, menurut laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.