
Kira-kira 100 kakitangan MSF memprotes di luar ibu pejabat PBB di Geneva terhadap sistem pengagihan bantuan di Gaza dilaksanakan syarikat swasta disokong Israel, yang mengakibatkan huru-hara dan pertumpahan darah.
“Orang ramai memerlukan perkara asas untuk hidup… mereka juga berhak menerimanya secara bermaruah,” kata Ketua Pengarah MSF Switzerland Stephen Cornish kepada Reuters ketika bantahan itu.
“Jika anda bimbangkan keselamatan, dirempuh ketika berlari dengan bungkusan bantuan – ini memang perkara terburuk pernah kami lihat,” katanya. “Puluhan orang terbunuh dalam serangan-serangan ini…mangsa bergelimpangan berlumuran darah.”
Cornish berkata, kakitangan di salah satu hospital di mana MSF beroperasi terpaksa menderma darah kerana kebanyakan orang Palestin tidak dapat berbuat demikian akibat terlalu lemah kerana kekurangan zat.
Israel membenarkan Yayasan Kemanusian Gaza milik swasta mula mengagihkan makanan di Gaza minggu lalu, selepas menutup Semenanjung Gaza sepenuhnya daripada menerima semua bekalan sejak awal Mac.
Pihak berkuasa Gaza berkata sekurang-kurangnya 102 orang Palestin terbunuh dan hampir 500 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan di lokasi pengagihan makanan dalam tempoh lapan hari pertama.
Saksi berkata tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Tentera Israel menuduh pejuang Hamas yang melepaskan tembakan, namun mengakui tenteranya “menembak suspek” yang menghampiri lokasi terbabit pada hari Selasa dalam kejadian yang meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa.
AS memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Rabu yang disokong ahli majlis lain, untuk menggesa “gencatan senjata segera, tanpa syarat dan tetap” di Gaza serta akses bantuan tanpa gangguan.