Lee Jae-myung presiden baharu Korea Selatan

Lee Jae-myung presiden baharu Korea Selatan

Beliau secara rasmi memulakan penggal lima tahun selepas menang pilihan raya.

Lee Jae-myung AP 0110625
Lee Jae-myung mengambil alih jawatan presiden Korea Selatan selepas memenangi pilihan raya sebagai calon Parti Demokratik dengan meraih 49.42% undi. (Gambar AP)
SEOUL:
Lee Jae-myung secara rasmi memulakan penggal lima tahun sebagai presiden Korea Selatan pada Rabu, susulan pengesahan kemenangannya dalam pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), lapor Agensi Berita Yonhap.

Lee secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai presiden pada 6.21 pagi, sejurus selepas kelulusan rasmi daripada NEC dalam satu sesi pleno.

Beliau memegang jawatan tertinggi negara tanpa melalui tempoh peralihan, memandangkan pilihan raya awal telah diadakan pada Selasa bagi menggantikan bekas Presiden Yoon Suk Yeol, yang digugurkan selepas percubaan untuk melaksanakan undang-undang tentera gagal.

Tugas sebagai presiden, termasuk selaku ketua angkatan tentera diserahkan kepadanya oleh Pemangku Presiden Lee Ju-ho.

Lee, calon dari Parti Demokratik (DP) memenangi pilihan raya dengan meraih 49.42% undi, menewaskan pencabarnya dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) Kim Moon-soo yang memperoleh 41.15%.

Ketua Whip DP, Park Chan-dae dijadual menerima sijil rasmi kemenangan daripada pejabat NEC di Gwacheon, yang terletak di selatan Seoul.

Pada hari pertamanya, Lee akan mengangkat sumpah dalam satu majlis pelantikan ringkas yang diadakan di Bangunan Dewan Negara pada 11 pagi.

Sebelum majlis itu, beliau dijadualkan menziarahi Taman Makam Negara Seoul sebagai tanda penghormatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.