Rusia serah cadangan damai kepada Ukraine

Rusia serah cadangan damai kepada Ukraine

Ketua delegasi Rusia Vladimir Medinsky berkata cadangan Moscow dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu langkah ke arah mencapai gencatan senjata penuh dan perdamaian kekal.

Menteri Luar Turki Hakan Fidan (tengah) mempengerusikan pusingan kedua rundingan damai Ukraine dan Rusia di Istanbul pada Isnin. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Rusia menyerahkan draf cadangan damai kepada Ukraine dalam pusingan kedua rundingan di Istanbul pada Isnin, kata ketua delegasi Rusia menurut laporan Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada wartawan selepas rundingan itu, Vladimir Medinsky, berkata cadangan Rusia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu langkah ke arah mencapai gencatan senjata penuh dan fokus mencapai perdamaian berkekalan.

“Dokumen ini komprehensif dan mengandungi pelbagai senario untuk mencapai matlamatnya,” katanya sambil menambah pihak Ukraine sudah menerima dokumen itu untuk diteliti.

Medinsky turut mengesahkan Rusia akan memulangkan secara unilateral mayat 6,000 anggota tentera Ukraine minggu depan, dengan semuanya sudah dikenal pasti.

Katanya, Moscow menawarkan gencatan senjata sementara selama dua hingga tiga hari di kawasan tertentu sepanjang barisan hadapan.

Cadangan itu digambarkan sebagai “gencatan senjata konkrit” bagi membolehkan pihak tentera mengambil semula mayat anggota terkorban. Moscow dan Kyiv dilaporkan bersetuju melaksanakan gencatan senjata setempat bagi tujuan itu.

Beliau berkata, Ukraine mengesahkan gencatan senjata terhad dipersetujui di zon tertentu bagi membolehkan proses pemulihan dan Kyiv sedang menyediakan cadangan lebih luas untuk memformalkan jeda sedemikian dalam pertempuran.

Kedua-dua pihak turut bersetuju melaksanakan pertukaran tawanan terbesar sejak konflik bermula, dengan jumlah keseluruhan dijangka melebihi 1,000 orang.

“Kedua-dua pihak komited terhadap pertukaran ‘semua untuk semua’ melibatkan tahanan sakit dan parah serta pejuang bawah 25 tahun.”

Sebuah suruhanjaya bersama akan ditubuhkan bagi menyelia pertukaran tahanan parah, tanpa campur tangan politik.

Beliau turut mengulas isu kanak-kanak terpisah akibat konflik sambil menafikan dakwaan Rusia menculik mana-mana kanak-kanak dan menyifatkan kebimbangan Ukraine sebagai “tontonan untuk meraih simpati masyarakat Eropah”.

Menurutnya, Kyiv mengemukakan senarai 339 kanak-kanak didakwa terjejas akibat konflik itu.

“Kami memulangkan kanak-kanak apabila ibu bapa atau penjaga sah mereka dapat dikenal pasti,” katanya sambil menekankan usaha Rusia untuk menyatukan semula keluarga terpisah.

Medinsky berkata, perbincangan lebih sejam itu dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Rusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.