
Dalam kenyataan pada Isnin, pakar termasuk pelapor khas PBB mengenai hak terhadap makanan, Michael Fakhri dan pelapor khas mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin diduduki, Francesca Albanese, menegaskan keperluan mendesak bantuan kemanusiaan di Gaza.
Mereka menyuarakan kebimbangan serius terhadap keselamatan individu atas kapal Freedom Flotilla susulan serangan berulang Israel terhadap pembela hak asasi manusia serta misi kemanusiaan PBB dan awam.
Mereka turut mengingatkan insiden serangan dron ke atas kapal serupa yang dilancarkan pakatan itu awal Mei lalu berhampiran perairan Malta.
Kenyataan itu menekankan ketika flotila menghampiri perairan wilayah Palestin di pesisir Gaza, Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan.
Pakar itu berkata, ICJ telah mengeluarkan langkah sementara pada Mac 2024 yang mengiktiraf berlaku kebuluran dan kelaparan meluas di Gaza.
Mereka turut mengecam tindakan menjadikan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang, dengan menyatakan Yayasan Bantuan Gaza disokong Israel dan Amerika Syarikat menggunakan bantuan itu untuk mengusir, menghina serta menahan orang awam.
Mereka turut memetik angka membimbangkan di mana kadar malnutrisi akut dalam kalangan kanak-kanak meningkat lebih 80% setakat Mac 2025.