
Kementerian Kesihatan memaklumkan hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 200 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan berhampiran pusat agihan di bandar Rafah, selatan Gaza pada Ahad.
“Pengagihan bantuan telah menjadi perangkap maut,” kata Lazzarini dalam kenyataan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Israel merancang menubuhkan empat pusat agihan bantuan di selatan dan tengah Gaza, yang menurut media rejim Zionis bagi memindahkan penduduk Palestin dari utara ke selatan wilayah itu.
“Sistem mengaibkan ini memaksa ribuan penduduk kelaparan dan terdesak berjalan sejauh puluhan batu ke kawasan hampir musnah sepenuhnya akibat pengeboman tentera Israel.
“Penghantaran dan pengagihan bantuan mesti dilaksanakan secara menyeluruh serta selamat. Di Gaza, perkara ini hanya boleh dilakukan melalui PBB, termasuk UNRWA.”
Ketua UNRWA itu turut menggesa Israel menamatkan sekatannya ke atas Gaza dan membenarkan PBB mendapat akses selamat serta tanpa halangan bagi membawa masuk dan mengagihkan bantuan kemanusiaan.
“Ini satu-satunya cara untuk mengelakkan kebuluran besar-besaran, termasuk dalam kalangan sejuta kanak-kanak.
“Dengan pelbagai naratif bersaing dan kempen penyelewengan maklumat giat dijalankan, media antarabangsa mesti dibenarkan memasuki Gaza untuk melaporkan secara bebas kekejaman sedang berlaku, termasuk jenayah kejam pagi ini.”
Menurut pejabat media kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 305 lagi cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat agihan bantuan sejak mekanisme agihan itu bermula 27 Mei lalu.