2 maut, lebih 500 ditahan ketika sambutan kemenangan PSG

2 maut, lebih 500 ditahan ketika sambutan kemenangan PSG

Seorang penunggang skuter maut dirempuh kereta ketika sambutan di Paris, manakala seorang remaja dilaporkan mati ditikam di bandar Dax.

Penyokong meraikan kejayaan PSG menang Liga Juara-juara UEFA ketika perarakan bas membawa pemain pasukan itu melalui Champs-Elysee di Paris pada Ahad. (Gambar AP)
ATHENS:
Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan lebih 500 ditahan di Perancis semasa sambutan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) selepas menewaskan Inter Milan 5-0 untuk menjulang trofi Liga Juara-juara UEFA malam tadi, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Ahad.

Seorang lelaki berusia 23 tahun yang menunggang skuter maut dirempuh sebuah kereta ketika sambutan di Paris, menurut BFMTV yang memetik pejabat pendakwa raya Paris.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pula dilaporkan mati akibat ditikam di bandar Dax, barat daya negara itu, menurut laporan sama.

Semasa sambutan di seluruh negara, 192 orang awam, 22 anggota penguat kuasa undang-undang dan tujuh anggota bomba turut cedera, menurut stesen penyiaran itu.

Seramai 559 individu ditahan, termasuk 491 di Paris, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.