
Pejabat Panglima Tentera Myanmar memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan semula pejabat kerajaan, kediaman awam dan infrastruktur pengangkutan yang rosak akibat gempa bumi kini sedang giat dijalankan.
“Tatmadaw (angkatan tentera) melanjutkan tempoh gencatan senjata sementara dari 1 hingga 30 Jun bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula di kawasan terjejas akibat gempa bumi.
“Langkah ini juga bertujuan memastikan pilihan raya umum pelbagai parti dapat diadakan secara bebas dan adil, demi kepentingan negara dan rakyat, serta mencapai keamanan sejati yang berkekalan dan kestabilan nasional,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi panglima angkatan tentera.
Kerajaan merancang untuk mengadakan pilihan raya sama ada pada hujung tahun ini atau Januari 2026.
Tekanan serantau semakin meningkat terhadap kerajaan Myanmar supaya melanjutkan tempoh gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi pada 28 Mac lalu.
Pada April, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan pemimpin tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) untuk menghentikan konflik atas dasar kemanusiaan.
Dalam Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang baharu sahaja berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 27 Mei, pemimpin serantau turut menggesa agar tempoh gencatan senjata dilanjut dan diperluas bagi memastikan bantuan dapat disampaikan tanpa halangan serta mengembalikan keamanan di seluruh negara.
Hampir 3,700 orang terkorban manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda pada 28 Mac.