Hamas umum capai persetujuan dengan AS berhubung gencatan senjata Gaza

Hamas umum capai persetujuan dengan AS berhubung gencatan senjata Gaza

Persetujuan itu turut merangkumi penubuhanjawatankuasa profesional bagi menguruskan hal ehwal Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dilaksanakan.

Hamas berkata pihaknya telah mencapai persetujuan mengenai rangka kerja umum bersama utusan AS ke Timur Tengah Steve Witkoff yang memastikan gencatan senjata kekal. (Gambar AP)
ISTANBUL:
Kumpulan Palestin Hamas pada Rabu mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan dengan utusan Amerika Syarikat (AS) ke Timur Tengah Steve Witkoff mengenai rangka kerja umum bagi pelaksanaan gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kami telah mencapai persetujuan mengenai rangka kerja umum bersama Witkoff yang memastikan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera pendudukan Israel dari Gaza, serta kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Persetujuan itu turut merangkumi penubuhan sebuah jawatankuasa profesional bagi menguruskan hal ehwal Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dilaksanakan, menurut kumpulan berkenaan.

Hamas turut menyatakan kesediaan untuk membebaskan 10 tawanan yang masih hidup serta menyerahkan beberapa mayat tawanan lain sebagai pertukaran kepada sejumlah tahanan Palestin yang akan dipersetujui bersama, di bawah jaminan pihak pengantara.

“Kami kini di peringkat akhir untuk menghantar dokumen syarat baharu yang diharap dapat disampaikan hari ini,” kata Witkoff kepada pemberita di Rumah Putih.

“Saya amat optimis terhadap penyelesaian jangka panjang — gencatan senjata sementara dan resolusi damai jangka panjang terhadap konflik ini,” tambahnya.

Witkoff berkata Presiden AS Donald Trump akan meneliti cadangan itu sebaik sahaja ia diterima.

Setakat ini, belum ada sebarang komen daripada pengantara Mesir atau Qatar berhubung pengumuman oleh Hamas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.