
Langkah itu menyusul keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa tahun lalu bahawa pendudukan Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza melanggar undang-undang antarabangsa, yang menurut kerajaan Ireland menjadi panduan terhadap keputusannya.
“Kerajaan bersetuju menggubal undang-undang melarang perdagangan barangan dengan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki,” kata jurucakap Kementerian Luar kepada AFP.
“Kerajaan berpendapat ini kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.”
Penempatan itu termasuk kepentingan perniagaan, pertanian dan kediaman terletak di luar sempadan Israel yang diiktiraf antarabangsa.
Sebelum keputusan Jemaah Menteri itu, Menteri Luar Ireland, Simon Harris memberitahu media, beliau berharap negara EU lain akan mengikut jejaknya.
“Apa yang saya harapkan hari ini ialah apabila negara kecil di Eropah ini membuat keputusan dan menjadi antara negara pertama, serta mungkin negara pertama di dunia Barat mempertimbangkan perundangan dalam ruang ini, saya berharap ia memberi inspirasi kepada negara Eropah lain mengikut jejak kami,” kata Harris yang juga timbalan perdana menteri Ireland.
Mei lalu, Ireland – bersama Sepanyol, Norway dan sebulan kemudian Slovenia – mengiktiraf negara Palestin.
Bulan lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan Paris mungkin mengiktiraf negara Palestin seawal Jun ini.
Keputusan Dublin itu menyusul seminggu selepas EU mengarahkan kajian semula Perjanjian Persatuan EU-Israel, perjanjian kerjasama dimeterai pada 1995 yang membentuk asas hubungan perdagangan dengan rejim Zionis.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas dilaporkan berkata, “majoriti besar” daripada 27 negara anggota dalam mesyuarat menteri luar di Brussels menyokong langkah itu bagi menekan Israel.
Larangan import Ireland akan menjadi simbolik dan mempunyai kesan ekonomi minimum kerana jumlah dagangannya dengan wilayah itu – terhad kepada barangan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan kayu – bernilai kurang daripada sejuta euro (USD1.1 juta) antara 2020 hingga 2024.
Ia “memecah kebuntuan selama berdekad di peringkat EU dengan mengkritik penempatan itu haram dan menjadi penghalang keamanan, sambil memberi mereka sokongan ekonomi penting.
“Selepas berdekad mengulangi penempatan haram adalah haram sama sekali dan EU membantahnya, ini julung kali ia direalisasikan,” kata Conor O’Neill, ketua advokasi dan dasar Christian Aid Ireland, yang membantu merangka versi terdahulu perundangan Ireland pada 2018.
Jurucakap Kementerian Luar berkata, kemas kini draf undang-undang akan dibawa kepada kerajaan “dalam beberapa minggu akan datang”.
RUU itu tidak dijangka diluluskan sebagai undang-undang sebelum musim luruh.