Serangan udara Israel, 9 anak doktor Palestin terkorban

Serangan udara Israel, 9 anak doktor Palestin terkorban

Pakar pediatrik Dr Alaa Amir al-Najjar hilang sembilan daripada 10 anaknya.

gaza
Tindakan ketenteraan Israel telah mengakibatkan 11 kanak-kanak terbunuh dalam tempoh 48 jam. (Gambar AP)
DOHA:
Sekurang-kurangnya 11 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 12 tahun dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh 48 jam lalu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Sembilan daripada terbunuh merupakan anak kepada pakar pediatrik Palestin, Dr Alaa Amir al-Najjar.

Media Arab melaporkan pada Ahad bahawa al-Najjar sedang bertugas di Hospital Nasser di bandar Khan Yunis apabila beliau menerima berita bahawa sembilan daripada sepuluh anaknya terbunuh dalam serangan udara Israel.

Suaminya dan seorang lagi anak yang terselamat kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi, menurut laporan Al Jazeera.

Sementara itu, Yaqeen Hammad, 11 tahun — seorang pempengaruh media sosial yang dikenali ramai — turut terbunuh dalam serangan di bandar Deir al-Balah, menurut laporan sama.

Kanak-kanak perempuan itu mempunyai ribuan pengikut di media sosial dan aktif menyertai misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Palestin yang dipindahkan di seluruh Gaza.

Selain itu, seorang lagi kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, susulan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 54,000 terbunuh sejak 7 Okt 2023, termasuk sekurang-kurangnya 16,500 kanak-kanak, manakala lebih 122,700 lagi cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.