Bantuan ke Gaza tak sampai 1% keperluan penduduk, kata Hamas

Bantuan ke Gaza tak sampai 1% keperluan penduduk, kata Hamas

Hamas berkata bantuan dihantar hanya merangkumi sejumlah kecil ubat dan tepung gandum ketika Israel masih menyekat operasi lebih 90% kedai roti di Gaza.

Hamas berkata Israel menyebarkan naratif mengelirukan kononnya ia membenarkan kemasukan ‘bantuan’, sedangkan hanya kira-kira 100 trak benar-benar masuk ke Gaza, iaitu kurang 1% daripada keperluan asas penduduk. (Gambar AP)
GAZA:
Pejabat media kerajaan Gaza dikendalikan Hamas pada Sabtu memaklumkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza setakat ini kurang daripada 1% keperluan asas penduduknya, lapor Xinhua.

“Sepanjang 84 hari sekatan dan penutupan, sekurang-kurangnya 46,200 trak membawa bantuan dan bahan api sepatutnya dibenarkan masuk ke Gaza bagi memenuhi keperluan minimum penduduk.

“Namun, beberapa hari kebelakangan ini, pihak penjajah (Israel) menyebarkan naratif mengelirukan kononnya mereka membenarkan kemasukan ‘bantuan’, sedangkan hakikatnya hanya kira-kira 100 trak yang benar-benar masuk, iaitu kurang 1% daripada keperluan asas penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Warga Palestin di Deir al-Balah, Semenanjung Gaza membuat roti selepas Program Makanan Sedunia julung kali menerima bekalan tepung gandung dalam tempoh sebulan selepas rejim Zionis membenarkan sedikit bantuan memasuki Gaza. (Gambar AP)

Pejabat itu turut memaklumkan bantuan dihantar hanya merangkumi sejumlah kecil ubat-ubatan dan tepung gandum ke beberapa kedai roti ketika penjajah masih menyekat operasi lebih 90% kedai roti di Gaza.

Israel sebelum ini bersetuju menarik balik sekatan hampir tiga bulan dan membenarkan kemasukan bantuan terhad ke wilayah terkepung itu.

Namun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres Jumaat lalu berkata, bantuan diluluskan setakat ini ibarat setitis air tatkala Gaza memerlukan limpahan bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.