Syria anggap keputusan EU tarik balik sekatan ‘kemenangan bersejarah’

Syria anggap keputusan EU tarik balik sekatan ‘kemenangan bersejarah’

Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani mengucapkan terima kasih kepada negara anggota EU dan semua pihak terbabit dalam 'kemenangan' itu.

Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani berkata penarikan balik sekatan ekonomi itu akan mengukuhkan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di negara berkenaan. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani menyambut baik keputusan Kesatuan Eropah (EU) menarik balik sekatan ekonomi ke atasnya yang disifatkan “pencapaian bersejarah baharu” bagi rakyat negara itu.

“Kami, bersama rakyat kami mencapai kemenangan bersejarah melalui penarikan balik sekatan EU terhadap Syria,” tulisnya di platform X, menurut laporan Anadolu Ajansi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada negara anggota EU dan semua pihak terbabit dalam “kemenangan” itu.

Katanya, langkah itu akan mengukuhkan “keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di Syria” kerana “Syria berhak menikmati masa depan cerah, setimpal dengan rakyatnya dan tamadunnya”.

Kenyataannya menyusul pengumuman pada awal hari sama Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.

“Hari ini, kami membuat keputusan menarik balik sekatan ekonomi terhadap Syria. Kami mahu membantu rakyat Syria membina semula Syria yang baharu, inklusif dan aman,” tulisnya di X.

Minggu lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, ia sedang bekerjasama dengan Jabatan Negara dan Majlis Keselamatan Negara untuk melaksanakan arahan Presiden Donald Trump berhubung penarikan sekatan terhadap Syria.

Washington mula mengenakan sekatan ke atas Syria sejak 1979 dan meluaskannya dengan ketara selepas perang saudara tercetus pada 2011.

Ahmed Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan antirejim menggulingkan Bashar al-Assad pada Disember tahun lalu, diisytiharkan presiden untuk tempoh peralihan pada akhir Januari lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.